Bertempat di Istana Budaya, suatu venue yang begitu gah, sesuai dengan pengalaman Lah sendiri yang telah lebih 25 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanahair disamping sebagai pemenang Anugerah Persembahan Vokal Terbaik di AJL ke 22. Ianya sedikit sebanyak membayangkan konsert ini akan berlangsung dengan penuh gilang gemilang sambil maraikan cinta buat para peminatnya.
Menghayati makna rasa kecintaan sesama manusia dan meraikan cinta antara insan dan tuhan, itulah mesej yang ingin disampaikan oleh penyanyi Lah Ahmad, bekas ahli kumpulan RnB Voices of Euphonious atau lebih dikenali dengan V.E. melalui konsert yang diberi tajuk “Jatuh Cinta” diambil bersempena dengan judul single Lah Ahmad sendiri.
Konsert ini akan memberikan kelainan yang mana Lah Ahmad akan bergabung bersama Orkestra Simfoni Universiti Malaya ini di bawah pimpinan YBhg Profesor Dr. Hanafi Husin iaitu Dekan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya. Pemilihan lokasi konsert di Istana Budaya adalah kerana kesesuaian dengan konsep persembahan, ia bertaraf antarabangsa dan berprestij. Lah Ahmad akan menghiburkan peminat selama dua jam dan anggaran 21 lagu akan diperdengarkan. Lah Ahmad juga akan membuat kejutan dengan menjemput beberapa penyanyi undangan. Konsert ini akan diketuai oleh En. Muhammad Shahwainaz bin Hussin selaku Pengarah Muzik. Beliau juga merupakan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya.
Harga tiket bermula dari RM130.00 - RM390.00 boleh didapati di www.ilassotickets.com .Kepada peminat yang membeli tiket AYU, mereka boleh bertemu dengan Lah Ahmad untuk sesi Meet & Greet di Istana Budaya selepas selesai konsert berlangsung.


