Sebuah band yang sangat gah nama di pesada musik antarabangsa MR. BIG yang baru sahaja selesai siri jelajah berakhir di Malaysia. 14hb Ogos bertempat di Zepp Kuala Lumpur Eric Martin, Paul GIlbert dan Billy Sheehan memberikan kepuasan kepada peminat peminat mereka.
Meskipun tampil santai namun tetap energatik, vokalis Eric Martin membuka tirai persembahan dengan lagu yang di petik dari album pertama mereka berjudul “Addicted To That Rush” yang jelas konsisten berterusan sepanjang persembahan mereka tanpa dipengaruhi faktor usia walau sedikit pun.
Eric yang mewakili seluruh band bersama pemain drum baru mereka Nick D’Virgilio, beberapa kali menzahirkan betapa mereka berbesar hati menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi terakhir dalam siri jelajah “The Big Finish” World Tour mereka sebelum kumpulan yang berasal dari Los Angeles ini “direhatkan” setelah lebih dari 35 tahun berada dalam industri muzik.
Konsert yang dibawakan oleh Shiraz Projects yang berlangsung hampir 2 jam itu menjadi suatu perhimpunan lebih 1500 peminat muzik Hard Rock/Glam Rock era 80an – 90an yang membesar dengan lagu – lagu dari Mr Big yang juga dipersembahkan pada malam itu seperti “Take Cover, Undertow, Alive and Kicking” dan beberapa lagu dari album – album terawal mereka.
Jelas ketara lagu – lagu hits mereka seperti “Just Take My Heart”, “To Be With You”, Daddy, Brother, Lover, Little Boy” yang dipetik dari album “Just Lean On It” masih memberikan impak kepada peminat tegar kumpulan ini yang turut menyanyikan bersama lagu – lagu tersebut dari mula hingga akhir. Sebagai info Mr Big menyampaikan kesemua lagu dalam album tersebut seperti “Never Say Never”, “A Little Too Loose”, “Road To Ruin”, “Voodo Kiss”, “My Kinda Woman”.
Persembahan mereka juga diselang-selikan dengan aksi solo petikan gitar yang memukau dari Paul Gilbert yang memang sangat dinantikan oleh penonton yang hadir lebih – lebih lagi bagi para gitaris tempatan yang menjadikan beliau sebagai idola mereka, manakala Billy Sheehan pula memberikan satu kenyataan tegas bahawa bassis juga mampu melakukan aksi solo yang ternyata membuatkan mata – mata yang melihat tidak berkelip dan seakan tidak percaya ianya dilakukan menggunakan gitar bass yang hanya mempunya 4 tali.
Dari segi teknikaliti, sistem bunyi yang menampilkan kualiti bertaraf 5 bintang, jelas kedengaran setiap note yang dimainkan oleh gitaris tersohor dunia Paul Gilbert mahupun getaran bass dari bassis unik lagi hebat Billy Sheehan. Dentuman menggegar jantung dari pemain drum Nick D’Virgilio juga tidak kurang hebatnya menyusun rentak persembahan pada malam itu. Persembahan pada malam itu juga dimandikan dengan tatarias pencahayaan pentas yang seimbang dengan kilauan lampu yang bergemerlapan.
Antara lagu – lagu lain yang mengisi hampir 2 jam persembahan mereka ialah “Green Tinted Sixties Mind”, Lucky This Time”, “Big Love”, “Promise Her The Moon” dan “Colorado Bulldog”.
Secara keseluruhan, malam persembahan Mr. Big ialah satu malam yang meninggalkan momen indah yang akan berterusan dikenang sampai bila – bila. Terukir kepuasan di setiap wajah yang hadir, mereka yang masih terkesima seakan – akan tidak percaya Mr. Big telah melabuhkan tirai persembahan mereka.
Terlalu berat untuk meninggalkan dewan yang menjadi saksi aksi gergasi Rock kegilaan ramai dahulu, kini dan selamanya. Ternyata ianya suatu pengalaman yang tidak ternilai dan tidak dapat diulang semula lebih – lebih lagi apabila ianya persembahan terakhir sebelum Mr. Big berundur diri dari persada muzik dunia.













