SOSIAL MEDIA

25 January, 2023

KERISPATIH DAN SAMMY SIMORANGKIR BAKAL MENLERAIKAN KERINDUAN PEMINAT DI MALAYSIA


Malaysia terus menjadi rumah kedua buat penggiat seni daripada Indonesia, buktinya hampir setiap bulan pasti ada konsert-konsert yang menampilkan artis daripada negara jiran tetangga itu. Terkini Kerispatih dan Sammy Simorangkir bakal beraksi di Kuala Lumpur.

Konsert eksklusif yang dibawakan tiga penganjur iaitu 4ward, Tiger Wong Entertainment dan MHT Live akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 24 Febuari depan. Konsert berkenaan sekali gus menamatkan penantian peminat setia Kerispatih yang sudah lama menantikan kehadiran kumpulan tersebut menyampaikan lebih 20 buah seleksi lagu hit mereka secara langsung di Malaysia.

Apa yang pasti, kehadiran mereka bakal mengubat kerinduan peminat menantikan kehadiran kerispatih, apatah lagi konsert tersebut turut menggabungkan vokalis Kerispatih, Fandy Santoso dan Sammy yang juga pernah bersama dengan band yang mempunyai lagu-lagu hits. “Jujurnya, kami sudah lama menanti kesempatan untuk kembali menghiburkan peminat di Malaysia. Apatah lagi, penggemar di Malaysia antara pendukung terbesar kami”, ujar Kerispatih ketika ditemubual secara maya pada 25 Januari lalu.


“Mengambil semangat konsert ini, kami ingin mengembalikan nostalgia dan momen terbaik kepada peminat. Kami akan menyampaikan kira-kira 20 lagu koleksi popular. Ia akan menjadi pertemuan manis untuk dikenang dan diharap membuka lebih banyak pintu buat kami beraksi di Malaysia pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Kerispatih turut dilanda badai apabila berpisah dengan vokalisnya, Sammy, mereka juga kehilangan pemain bass, Andika pada 10 April 2018, yang meninggal dunia akibat diabetes, namun ianya sedikit pun tidak melunturkan semangat mereka untuk terus aktif berkarya. Buktinya,Kerispatih hadir dengan single terbaharu berjudul Pernah Terluka. Malah mereka berharap agar lagu tersebut mendapat perhatian peminat setia.

“Meskipun Kerispatih kini mempunyai vokalis baharu, Fandy Santoso, namun saya yakin bahawa ramai peminat yang merindui saya, dan apa yang pasti saya juga akan turut membawakan lagu-lagu Kerispatih”, ujar Sammy “Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Anton dan Arief yang terus memastikan nama Kerispatih terus terpahat subur dalam ingatan peminat”, tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 4ward, Nashrul Nasir berkata, kolaborasi menganjurkan Moments of Kerispatih with Sammy Simorangkir bersama produksi Indonesia sebagai permulaan menuju lebih banyak kerjasama lebih besar pada masa depan.
“Sebagai penganjur kami berbangga dapat membawa Kerispatih dan Sammy Simorangkir yang berpengaruh kembali selepas sekian lama tidak menjejakkan kaki ke Malaysia”, ujar beliau.

“Menerusi kolaborasi bersama dua penganjur lain, konsert ini bersifat mega. Mega dari segi pemuziknya iaitu Kerispatih dan Sammy yang sudah membawa pulang pelbagai anugerah, mega dari segi lokasi konsert, sistem bunyi dan sambutan peminat”, katanya. “Saya percaya konsert ini pastinya tidak akan dilepaskan oleh peminat Kerispatih yang mahu menyaksikan gabungan semula Kerispatih, Sammy dan Fandy Santoso”, tambahnya.

Nama Kerispatih terus menjadi bualan setelah mereka berjaya menawan peminat Malaysia menerusi lagu Kejujuran Hati pada 2005. Album kedua, Kenyataan Perasaan sekaligus melayakkan mereka  untuk menerima Platinum Awards pada 2007.


Atas sambutan dan jualan tiket yang memberangsangkan pihak penganjur menambah satu lagi kategori tiket iaitu Diamond (tempat duduk) telah ditambah. Peminat boleh mendapatkan tiket bagi kategori tersebut yang dijual dengan harga RM555. Pembelian menerusi laman
sesawang https://momentsofkerispatih.com.