Foto : Maestro Ridwan
Kuala Lumpur, 6 September 2022 – ‘Gegar Vaganza’ kini kembali dengan menampilkan barisan artis yang gah, relevan dan pastinya bakal mengubat rindu peminat-peminat industri muzik tempatan. Rancangan ‘Gegar Vaganza’ amat dikenali dengan membawa semula artis-artis evergreen serta bintang-bintang yang pernah berkilauan dengan terangnya. Namun edisi ‘GV’ ke-9 kali ini turut membawa perubahan baharu dengan menampilkan nama-nama besar yang utuh dalam bidang nyanyian negara kita.
Nama-nama yang menjadi ikutan kini antara wajah-wajah yang bakal merebut gelaran berprestij ini. Ada di antara mereka dikenali dengan kekuatan vokal yang luar biasa serta stage presence yang menakjubkan. Bukan itu sahaja, ‘GV9’ turut ingin membawa kesinambungan kerjaya-kerjaya artis- artis terdahulu untuk bersinar sekali lagi.
NAIB PRESIDEN STRATEGI PEMBANGUNAN KANDUNGAN HIBURAN MELAYU ASTRO, RAQIM AHMAD.
“Siapa yang tidak mengenali rancangan ‘Gegar Vaganza’? Setelah bersiaran selama lapan musim, momentum rancangan nyanyian ini kian memuncak dan popularitinya semakin mendadak menaik.
Dengan rasa berbangga, pihak Astro membawakan ‘Gegar Vaganza’ musim kesembilan, dengan barisan penyanyi yang amat menakjubkan serta berbakat besar. Malah kami turut merasakan rendah diri kerana barisan yang ada merupakan antara nama-nama terbesar dalam pesada muzik tempatan kali ini.
Kombinasi kali ini turut menerapkan elemen diversiti ataupun kepelbagaian dalam representasi genre muzik negara kita. Pop, Rock serta R&B antara genre penyanyi yang ada. Ada jua sesetengah mereka begitu versatil dan mampu menyanyi dalam pelbagai genre serta bahasa.
Kami turut mempunyai penyanyi-penyanyi hebat di negara kita yang sudah merangkul pelbagai anugerah. Ternyata ‘GV9’ mampu menarik penyertaan bintang-bintang besar yang bersinar hebat, lantas menujukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk para peminat tetapi artis- artis yang ada. ‘GV’ masih jua menjadi platform untuk barisan penyanyi mengukir nama mereka semula dalam bidang nyanyian.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan bagi pihak Astro kepada penaja utama kami, Farm Fresh yang sudi menaja musim terbaharu ini. Sesungguhnya, saya berharap agar kolaborasi ini berkekalan dengan jayanya.
Akhir sekali, ucapan terima kasih ingin saya lafazkan kepada semua pihak produksi, barisan artis, pengurusan serta tenaga kerja yang bakal menjayakan rancangan realiti terbesar di Malaysia ini yang akan bersiaran langsung bermula pada 18 September kelak.
Barisan juri masih diketuai Dato’ Ramli MS yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi lagenda Indonesia, Hetty Koes Endang. Mereka turut akan ditemani juri-juri profesional undangan setiap minggu.
‘GV9’ masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan.
Musim baharu ini turut membawa semula Nabil Ahmad sebagai hos dan dia akan ditemankan oleh pelakon serta alumni ‘Gegar Vaganza 3’, Elly Mazlein. Pastinya pentas menjadi gamat dengan kombinasi kedua-dua hos yang kelakar ini.
Peserta-peserta ‘GV9’ terdiri daripada Shila Amzah, Jaclyn Victor, Dina Nadzir, Tomok, Asheed, Bob Yusof, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Roy Kapilla, Haida Hasnan, Pat Candy, Tom serta VE yang terdiri daripada Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim. 12 penyanyi solo dan sebuah kumpulan akan memulakan cabaran sengit yang pastinya akan menggegarkan malam Ahad para penonton Astro. Barisan yang hebat ini bakal bergema dan meriuhkan semula pertandingan realiti nyanyian negara kita.
Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100, 000, naib juara pula akan meraih RM50, 000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.
Penerbitan ‘GV9’ turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama. Sidang media ‘GV9’ turut dibawakan dari Menara Kuala Lumpur.
Selain itu, penganjuran ‘GV9’ juga dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Astro GO, Gempak dan Ria X selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi dan disokong oleh Gegar untuk musim ini.
Eksklusif untuk pelanggan setia Astro, mereka berpeluang untuk menyaksikan ‘GV9’ secara LIVE dengan menjawab tiga soalan mudah di astro.com.my/gv9. 10 pasang tiket sedia untuk dimenangi setiap minggu.


















