Muhamad Syawal Iqbal bin Mahhassan, pemuda berusia 22 tahun dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, mewarisi bakat menyanyi daripada bapanya yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia dan kini menguruskan sebuah resort golf di Kelantan.
Sering dibawa oleh bapanya untuk tidak melepaskan peluang menunjukkan bakat sedia-ada yang dimilikinya di majlis-majlis yang turut menyediakan acara nyanyian. “Mungkin sejak kecil didedahkan dengan keberanian bapa menyanyi dihadapan khalayak mempengaruhi minat saya dalam nyanyian.”
Dikejutkan seorang rakan media sosial yang kebetulan anak pemilik sebuah syarikat rakaman yang menyatakan bapanya ingin mengujibakat suaranya.
“Memang ada cita-cita untuk menjadi artis rakaman, tapi tawaran dari teman media sosial itu diluar jangkaan kerana saya tidak banyak buat `cover ’ yang dimuat naik di media sosial kerana keutamaan pada pelajaran. “Ia seperti orang mengantuk disorongkan batal”.
Tidak lama Syawal Iqbal menaiki pesawat ke Kuala Lumpur dari Kota Bahru dan selepas hadir di pejabat beliau diberikan lagu Insaf untuk dicuba. Pihak syarikat berpuas hati dan proses rakaman diatur.
“Saya tidak digalakkan keluarga untuk aktif dalam sukan lasak seperti bolasepak atau hoki. Pengalaman rakan yang pernah tercedera dan patah tulang kaki serta rusuk, menyebabkan saya menjauhi sukan itu dan memilih sukan Golf, juga sukan kegemaran bapa.”
Telah mewakili Majlis Sukan Negeri Kelantan sejak berusia 12 tahun dan menghentikan penglibatannya seketika setelah meneruskan pelajaran di Kojel Matrikulasi Sains Kelantan.
”Selepas sambung belajar di IPT, saya mencuri-curi masa bermain golf dengan mewakili beberapa syarikat swasta”.