Setelah menjuarai Levi’s Music Project pada Disember 2020, Margasatwa telah mendapat geran RM20000 untuk penggambaran video muzik untuk lagu baru mereka, Yang Asli. Lagu Yang Asli membawa mesej yang cukup mudah difahami untuk segenap masyarakat iaitu “Mencintai diri sendiri terlebih dahulu, tanpa mempedulikan kata-kata orang lain.” Setiap orang mempunyai keunikan dan kecantikan yang tersendiri. Kita tidak harus menilai diri berdasarkan pendapat orang semata-mata. Margasatwa mengajak para pendengar untuk percaya dan yakin dengan keunikan diri sendiri, menjadikan diri lebih fokus dan bahagia dalam hidup sementelah mengejar impian masing-masing yang ternyata unik.
Muzik video Yang Asli ini menceritakan tentang betapa skeptikal dan tipikal sesetengah orang dalam menilai seseorang hanya berdasarkan rupa. Namun individu tersebut kemudian bangkit dan membuktikan kebolehan dan keyakinan diri sebagai simbolik dari petikan lirik “Kecantikan tidak boleh diraih, kecantikan hanya dipelihara.” Selain dari penceritaan itu, Margasatwa turut mengetengahkan nilai fesyen yang unik. Salah satunya adalah material songket yang ditempah khas pada jaket Levi’s Fadhil (pemain gitar utama) dan pengayaan ala-ala 70an atau 80an sebagai identiti pada muzik video kali ini.
Hasil arahan daripada Adriana Tunku yang turut mengarah muzik video pelbagai artis tanah air termasuklah Dato’ Siti Nurhaliza, juga juara AJL 35 - Gila nyanyian Kaka Azraff, Noki dan LOCA B.
Margasatwa berharap supaya lagu Yang Asli ini dapat menambat hati rakyat Malaysia dan dapat memberi impak kepada agar mereka percaya pada diri sendiri, percaya dengan keindahan ciptaan tuhan yang mempunyai keunikannya tersendiri secara semulajadi dan membawa keharmonian dan positif dalam kehidupan manusia.
Meningkatkan keyakinan diri dalam menjalani rutin harian masyarakat. Selain itu, menerusi lagu ini kami berharap pendengar cakna akan isu body-shaming/jenaka yang berasaskan kutuk-mengutuk fizikal seseorang yang kini menjadi seperti norma baharu dan amat bertentangan dengan budaya masyarakat kita yg lemah lembut dalam percakapannya dan sopan – Shadiq (PEMAIN BASS MARGASATWA)
Pada buat masa ini, Margasatwa sedang berusaha keras dalam mengusahakan album terbaru mereka yang sasaran akan dikeluarkan pada hujung tahun 2021. Fadhil menyatakan bahawa lagu Yang Asli ini ialah satu ‘restart’ atau ‘reboot’ bagi Margasatwa untuk menuju sesi rakaman album kedua. Album kedua ini Margasatwa bakal menghasilkan kolaborasi bersama artis-artis tempatan yang lain dan Tony Iskandar dari kumpulan terkenal Spider telah di pinang sebagai penerbit album.
Margasatwa sentiasa akan memastikan muzik yang mereka keluarkan akan mampu memberi inspirasi kepada anak-anak muda Malaysia yang bercita-cita untuk menjadi pemuzik. – Fadhil (PEMAIN GITAR MARGASATWA)
Keunikan Margasatwa yang menjadikan Margasatwa disukai ramai adalah dari segi penampilan dan penyampaian lagu. Sebuah kumpulan rock fusion yang meletakkan elemen Nusantara dan unsur kemelayuan dalam lagunya secara unik. Setiap karya yang dikeluarkan Margasatwa akan push to the limit dengan berniat untuk mengeluarkan sesuatu yang terbaik yang tidak pernah mereka hasilkan lagi dan memberi impak kepada pendengar-pendengar. Cita-cita dan impian yang ditanam oleh setiap ahli Margasatwa adalah untuk menjadi pemuzik yang terbaik tanah air dan menempah nama dan melebarkan juga sayap Margasatwa ke negara luar bagi menaikkan martabat, harga muzik nusantara dan yang paling penting untuk mendidik masyarakat tentang keunikan muzik kita.
Saya mahu Margasatwa kekal relevan dan menjadi sebuah band yang diingati oleh semua dan juga menjadi band rujukkan untuk generasi akan datang. – Sammy (PEMAIN GITAR MARGASATWA)
Margasatwa ingin buktikan bahawa karya kami adalah sesuatu yang berharga dalam lipatan sejarah muzik negara dan harus diketengahkan demi meraikan kepelbagaian bakat dan keunikan muzik Malaysia. Kami ingin menjadi sebuah kumpulan rock yang ikonik yang disenangi segenap lapisan rakyat Malaysia.
Syukur alhumdulillah kepada tuhan yang esa kerana memberi kami peluang dan semangat untuk kami terus berkarya di dalam musim pandemik ini. Macam yang kita tahu, musim pandemik virus COVID-19 ini telah banyak merubahkan gaya hidup kita. Norma baru ini ramai penggiat seni tanah air mengalami pelbagai kesulitan iaitu hilang punca pendapatan baik artis atau pembantu belakang tabir.
