SOSIAL MEDIA

20 March, 2021

"OFFMUTE" MERUPAKAN LABEL TERBARU DIBAWAH SONY MUSIC ENTERTAINMENT DI ASIA TENGGARA

OFFMUTE buka peluang, platform buat artis baharu yang mengejar visi kreatif dalam mengekspresikan muzik mereka dan meraih lebih banyak pengikut di serata Asia Tenggara.

Pendatang baharu yang sudah bernaung di bawah label baharu OFFMUTE ini adalah penyanyi dan penulis lagu yang semakin meningkat naik Clara Benin dari Filipina. Seterusnya penyanyi Pop Alternatif dari Indonesia, Mezzaluna dan artis rakaman Malaysia liesl-mae.
Jumaat, 19 Mac 2021 – Sony Music Entertainment mengumumkan pelancaran sebuah label serantau baharu, OFFMUTE, hari ini. Fokus utama label ini adalah untuk memperkasakan bakat pendatang baharu dari Asia Tenggara dengan menggunakan pengalaman hasil gabungan seluruh pasukan Sony Music di rantau ini.

OFFMUTE membuka peluang kepada mana-mana artis dari pelbagai genre untuk memajukan karier muzik dalam mengejar visi kreatif mereka. Label baharu ini turut memberi sokongan kepada artis-artis serantau Asia Tenggara ini dalam mengembangkan capaian muzik mereka. Menggunakan kepakaran dan sumber terbaik Sony Music di seluruh dunia, OFFMUTE akan membantu mereka meraih pengikut lebih ramai menerusi kaedah rangka promosi dan strategi pemasaran yang rancak.

“OFFMUTE adalah label sulung dalam kategorinya sendiri di dalam dunia. Ia bertujuan mengangkat kekayaan budaya serta kepelbagaian yang ditawarkan dari Asia Tenggara. Matlamat OFFMUTE juga adalah menaikkan artis dengan bantuan pakar serta menggunakan jaringan terbaik dalam memastikan mereka berjaya mencipta nama besar di rantau ini,” kata Shridhar Subramaniam, Presiden, Perkembangan Pemasaran dan Strategi, Asia dan Timur Tengah, Sony Music Entertainment. “Peluang itu semestinya cukup mengujakan buat artis generasi baharu di rantau ini dan kami tidak sabar untuk membantu mereka serlahkan potensi diri pada tahun-tahun mendatang.

ARTIS BAHARU OFFMUTE DARI FILIPINA, INDONESIA, DAN MALAYSIA



Cukup menjadi sebutan di Filipina, Clara Benin sangat dikagumi menerusi lagu-lagu yang sarat dengan bait-bait indah serta mendalam. Clara menerima penstriman lebih 25 juta menerusi platform muzik Spotify dan YouTube selain kerap menjadi pilihan utama beraksi di festival muzik tempatan mahupun antarabangsa. Clara juga pernah memenangi bermacam anugerah termasuk Wishclusive Contemporary Folk Performance of the Year untuk lagunya, “I Rose up Slowly”.


Turut jadi taruhan OFFMUTE adalah penyanyi berbakat besar yang juga penulis lagu, Mezzaluna. Berasal dari keluarga yang cukup kuat latar belakang muzikalnya, Mezzaluna berjaya meletakkan dirinya dalam kelas yang tersendiri sekali gus menyerlahkan namanya. Mezzaluna memiliki vokal yang mendayu, sarat penjiwaan, dan corak penceritaannya mendalam serta peribadi. Penyanyi Pop Alternatif Indonesia berusia 20 tahun ini melakar namanya sebagai artis solo yang mampu menghasilkan karya hebat penuh inspirasi serta didengari di seluruh dunia. Mezzaluna bakal melancarkan lagu pengenalannya pada tahun ini dan akan diuar-uarkan OFFMUTE di serata Asia Tenggara.


Penyanyi Malaysia, liesl-mae melengkapkan senarai bakat muzik dari pelbagai negara untuk label ini. liesl-mae mula mencipta nama dalam industri muzik Malaysia dengan berbekalkan corak nyanyian yang begitu lembut dan cukup merdu. Sekarang masa yang tepat untuk bakatnya diperluas ke rantau Asia Tenggara menerusi OFFMUTE ini. liesl-mae merancang untuk menghasilkan lagu baharu dan berkolaborasi dengan rakan artis di bawal label baharu ini dan liesl-mae juga mahu memanfaatkan platform terbarunya ini untuk mendidik dan memberi kesedaran mengenai kesihatan mental.