SOSIAL MEDIA

11 February, 2021

"KARMA" MENCABAR KAKA AZRAFF DAN JAZ

GABUNGAN KAKA AZRAFF DAN JAZ MEMPERLIHATKAN SISI YANG BERBEZA DALAM PENYAMPAIAN LAGU "KARMA".


Pengabungkan antara 2 orang  penyanyi Malaysia dan Indonesia, Kaka Azraff dan Jaz, semestinya memberi aura berbeza untuk lagu duet mereka berjudul Karma. Dicipta komposer hebat Farouk Roman dan lirik yang ditulis oleh Aisha Retno, tentu memberi lebih magis kepada karya berentak balada ini. 

Apa yang pasti, lagu ini membawa angin baharu dalam profil nyanyian Kaka dan Jaz. Mana tidaknya, mereka sendiri sudah selesa dengan genre masing-masing yang menjadi identiti dalam setiap lagu mereka. Bagaimanapun, ternyata lagu sentuhan Farouk dan lirik yang ditulis oleh Aisha Retno ini berjaya meyakinkan keduanya untuk mencabar artistik nyanyian mereka. 


Berkongsi mengenai pembabitannya, Kaka mengakui keindahan lagu Karma menjadi penyebab utamanya untuk bersetuju dengan projek terbabit. Meskipun rakaman bersama Jaz dibuat berasingan, menurutnya hal itu tidak menjadi penghalang. Paling penting, dia bersyukur apabila dapat menunjukkan sisi berbeza dalam nyanyiannya. 

“Paling meyakinkan saya adalah melodi serta susunan muzik itu sendiri memang sedap. Saya rasa ia sebuah lagu balada dan runut bunyi yang sangat berkualiti. Sebenarnya saya tiada berjumpa dan berhubung dengan Jaz. Kami merakamkan lagu ini secara berasingan memandangkan dengan keadaan dan Jaz terima audio yang sudah ada rakaman vokal saya. 

“Karma sangat berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini. Saya sendiri tidak pernah terbayang akan nyanyikan lagu sebegini. Bagaimanapun, saya sangat gembira dengan keputusan menyanyikannya. Sebenarnya ia menunjukkan sebuah sisi lain Kaka Azraff kerana ini lagu balada 

pertama yang benar-benar menunjukkan vokal saya yang dibantu oleh Afif Tirmizie selaku pengarah vokal saya yang memudahkan nyanyian saya,” katanya. 

Bagi penyanyi kelahiran Brunei, Jaz yang bertapak di Indonesia sekarang pula, dia tidak menafikan sangat berbesar hati apabila diberi peluang terbabit dalam projek ini. Apalagi, digandingkan pula dengan Kaka yang sememangnya sudah cukup kukuh namanya di persada muzik tempatan. 


“Saya sangat berterima kasih dengan peluang diberikan Sony Music Malaysia untuk berduet dengan penyanyi Malaysia, Kaka. Ia satu penghormatan yang sangat bermakna buat saya terbabit dalam projek ini kerana ia jauh berbeza dengan projek lain pernah saya jayakan sebelum ini,” katanya. 

Sebagaimana bagi Kaka dan Jaz juga menganggap projek ini menjadi satu lagi transisi penting dalam karier nyanyiannya. Sudah terbiasa dengan genre ringan dalam karyanya selama ini, lagu Karma jelas memberi suapan baharu buat konteks nyanyiannya. Apapun, dia tidak menafikan rakaman lagu ini ada cabarannya tersendiri sewaktu melunaskannya. 

“Kebiasaan lagu saya adalah yang berentak santai dan riang. Namun, menerusi lagu ini, saya benar-benar melakukan sesuatu yang di luar genre sendiri. Bahagian paling susah adalah harmoni antara nyanyian kami berdua. Terima kasih pengarah vokal saya, Danish yang banyak membantu melancarkan nyanyian saya. 

“Tentunya memang sangat mencabar buat saya. Ia sebuah lagu balada yang perlu penjiwaan berat di mana saya sendiri secara peribadi lebih terbiasa dengan melodi riang. Alhamdulillah, saya sudah mendengar hasilnya dan sangat berpuas-hati. Mudah-mudahan lagu ini bakal diterima baik pendengar di Malaysia,” katanya. 


Lagu Karma ini juga merupakan runut bunyi bagi drama Takdir Yang Tertulis .

Pengambaran muzik video ini telah dirakam berasingan manakala lokasi yang dipilih adalah bersamaan dengan kedua lokasi. Ianya satu cabaran bagi produksi untuk mengabungkan kedua MV ini menjadi satu.

Muzik Video ‘Karma’ akan dilancarkan pada 11 Februari 2021 di Vevo dan Youtube rasmi Sony Music Malaysia (sonymusicMYVEVO) pada jam 4 petang untuk tontonan umum. Muzik video yang berdurasi 4:18 minit ini telah dihasilkan oleh produksi 6ix Studios dari Malaysia yang diarahkan oleh Hafiz Shafie dan Nocturnal Projects dari Indonesia dibawah arahan Bobby Adrian Vitra.