SOSIAL MEDIA

21 August, 2025

BALAN KASH BANGKIT DALAM MV TERBAHARU “CEKAP”

BALAN KASH


KUALA LUMPUR, 21 OGOS 2025 – Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, penyanyi rap, penulis lirik dan penggiat seni tempatan, Balan Kash, tampil dengan buah tangan terbaharu — video muzik (MV) rasmi “Cekap” terbitan Balan Kash Entertainment. Lebih istimewa, karya ini bukan sahaja memperlihatkan sisi baharu Balan Kash sebagai seorang artis serba boleh, malah menyatukan kisah kebanggaan dan identiti Malaysia dalam sebuah MV yang sarat dengan maksud tersirat.


Lebih membanggakan, baharu-baharu ini juga Balan Kash telah dicalonkan dengan dua buah lagu bagi kategori “Lagu Hip-Hop Terbaik” di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24), menambahkan lagi pencapaian cemerlang dalam karier muziknya.


Lagu Cekap yang menjadi judul album penuh pertama Balan Kash dalam bahasa Melayu, merupakan lagu yang menampilkan gabungan unik antara hip-hop moden, muzik klasik India dan nuansa tradisional Malaysia. Perkataan “cekap” dalam slang tempatan yang membawa maksud “tajam” atau “on-point” adalah gambaran keberanian dan keyakinan dalam menyuarakan sesuatu yang dekat di hati rakyat negara ini.

Bagi Balan Kash, karya ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia merupakan peringatan bahawa negara kita sudah lebih 60 tahun mengecapi kemerdekaan, dan di sebalik perbezaan warna kulit, bahasa dan budaya, rakyat Malaysia tetap berkongsi satu semangat yang sama — semangat perpaduan.


Video muzik ‘MV’ Cekap arahan Kinggolddigga membawa penonton menyelami kisah visual penuh simbolik tentang makna identiti dan perpaduan rakyat Malaysia. Ia bermula dengan adegan tradisional Dikir Barat, di mana Balan Kash berdiri di tengah-tengah bulatan pemuzik, melambangkan gabungan warisan budaya dengan gaya kontemporarinya. “Saya mahu bermula dengan sesuatu yang melambangkan Malaysia. Dikir Barat dekat dengan hati kita semua, dan saya percaya muzik moden boleh hidup bersama tradisi dengan harmoni,” kata Balan Kash.


Naratif kemudian bergerak ke pusat derma darah, metafora kuat bahawa biarpun berbeza rupa, setiap rakyat Malaysia tetap berkongsi darah yang sama. “Apa pun bangsa atau agama kita, darah kita tetap sama, merah. Itu asas perpaduan yang saya mahu orang rasa bila tengok MV ini,” tambahnya.



Kemuncak MV terlihat ketika babak “Circle of Unity”, apabila sekumpulan individu berbilang kaum mencelup tangan mereka ke dalam cat merah lalu membentuk lingkaran identiti bersama. Adegan dramatik antara Balan Kash dan pihak polis pula diakhiri dengan perjabatan tangan, simbol perdamaian dan persefahaman. Visual ini diperkukuh dengan babak penuh gaya — dengan latar merah menyala — menegaskan semangat, keberanian dan cinta kepada tanah air.


Saya dibesarkan di Klang, di tengah masyarakat majmuk yang penuh warna-warni. Dari situ saya belajar bahawa kekuatan kita datang apabila kita semua bersatu, dan bukan bila kita berpecah. Dan itulah roh sebenar yang saya mahu zahirkan dalam MV ini,” ujar Balan Kash dengan penuh semangat.


Bercakap tentang Cekap, Balan Kash menegaskan lagu ini adalah karyanya yang paling peribadi: “Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya kita semua mempunyai cerita berbeza tetapi berkongsi satu semangat yang sama. Cekap adalah cara saya meraikan kebebasan, kepelbagaian dan juga kekuatan yang kita ada bila bersatu. MV ini adalah dedikasi saya kepada tanah air tercinta — supaya kita sentiasa ingat bahawa walau apa pun cabaran, kita tetap satu.”



Cekap dihasilkan di bawah Dana Kebolehan Pasaran (Domestik 2.0) oleh DKK (Dana Kandungan Kreatif) Industri Muzik, sebuah inisiatif yang disokong oleh MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM).


Sebagai penghargaan, Balan Kash Entertainment menzahirkan: “Kami daripada Balan Kash Entertainment mengucapkan ribuan terima kasih kepada KKMM melalui MyCreative Ventures di atas sokongan kerajaan yang berterusan kepada pembangunan industri kreatif melalui program Dana Kandungan Kreatif yang diperkenalkan.”