KUALA LUMPUR, 7 JULAI 2025 - Bintang hip hop tanah air, SonaOne, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan single terbaharunya berjudul “Stamina” – sebuah karya yang membawa pendengar menyelami perasaan dalaman yang disimpan, saat kita cuba kekal tenang walaupun jiwa sedang bergelora.
Dilancarkan di semua platform digital, “Stamina” menampilkan sisi lebih matang dan reflektif dari SonaOne. “Ia tentang mengekalkan ‘cool’ dalam situasi sukar. Bila kita nak luah, tapi kita tahan, berharap orang tu tak hilang begitu saja,” jelas SonaOne. “Ini stamina emosi — ketahanan hati, bukan fizikal semata-mata.”
SonaOne juga berkata, “demo STAMINA sendiri sudah memiliki jiwa. Kami hanya memperindahkannya tanpa menghilangkan perasaannya. Saya mahu mengekalkan rasa asli itu. Dari lakaran ke gambaran penuh, ia berkembang, tetapi degupan jantungnya tidak pernah hilang”.
Menurut SonaOne, “Stamina” hanyalah permulaan. “Ini baru pemanasan. Kenobi season akan datang. Akan ada lebih banyak muzik, lebih banyak visual, dan lebih banyak cerita. Sekarang saya lebih yakin nak berkarya dengan cara saya sendiri.”
Tiada gimik, tiada sensasi palsu — hanya karya jujur dengan produksi yang berkualiti. “Kalau lagu ni kena tepat dengan perasaan para pendengar, itu dah cukup bagi saya.”