Konsert solo mega Stacy di negeri kelahirannya akhirnya diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media eksklusif yang berlangsung penuh meriah di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini.
Seawal jam 3 petang, para media, tetamu VIP serta rakan artis hadir dan diberi ruang untuk beramah mesra sebelum dikejutkan dengan kemunculan Stacy dalam persalinan serba putih. Beliau mempersembahkan tiga buah lagu secara akustik — “Pelangi Senja”, “Not For Sale” dan “Jahat” di kawasan luar SICC yang berlatarbelakangkan laut dan matahari terbenam, menjadikan momen ini antara paling magis dan peribadi buat semua yang hadir.
Stacy menjelaskan bahawa “Aku Stacy Menggegar Kota U” bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah persembahan yang mencurahkan sepenuhnya kreativiti dan dedikasi beliau terhadap seni pentas, hadiah teristimewa buat warga Sabah.
“Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu pengalaman yang penuh warna dan tenaga, khas untuk orang Sabah. Saya akan bawa penari dari Semenanjung dan gabungkan dengan penari tempatan. Nantikan gimik dan kejutannya kerana saya tak sabar nak gegarkan SICC!” kata Stacy penuh semangat.
Konsert yang bakal berlangsung turut diselitkan dengan segmen yang paling dinantikan oleh semua peminat iaitu persembahan duet Stacy bersama suami tersayang, Akim Ahmad. Pasangan ini yang sinonim dengan persembahan romantis bakal tampil dalam salah satu segmen khas yang dijamin akan “bersemut” buat mereka yang hadir ketika konsert nanti, menurut Akim ketika sesi sidang media.
Akim turut berkongsi kegembiraannya kerana cuaca baik turut mengiringi acara tersebut. “Setiap hari di sini hujan turun, kami memang risau kerana sidang media ini diadakan di luar. Tetapi hari ini cuaca cantik. Alhamdulillah, berkat doa semua,” katanya sambil tersenyum.
Dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawakan oleh U Mobile, konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” akan berlangsung pada 21 Jun 2025, mulai jam 8:00 malam di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Berbeza dari mana-mana persembahan sebelum ini, Stacy sendiri terlibat 100% dalam konsep, susunan muzik, koreografi, serta pemilihan pasukan kreatif, menjadikan konsert ini paling autentik dalam perjalanan seninya.
Konsert ini juga bakal membawa penonton mengimbas perjalanan karier Stacy seawal era “Aku Stacy” hingga ke “Menyala”, dengan susunan muzik baharu, koreografi segar berserta visual pentas bertaraf antarabangsa.
“Setiap lagu ada ceritanya. Saya mahukan semua penonton pulang dengan rasa puas, terhibur dan terinspirasi,” tambah Stacy.
Kategori & Harga Tiket
Tiket rasmi sudah mula dijual bermula 10 April dan boleh dibeli di www.ticket2u.com. Berikut adalah kategori dan harga tiket yang ditawarkan:
● Not For Sale (Seating) – RM6,000
● Aku Stacy (Seating) – RM399
● Pelangi Senja (Free Standing) – RM257
● Gilalah (Free Standing) – RM197
● Jahat (Free Standing) – RM137