SOSIAL MEDIA

06 March, 2025

PROJEK PENDIGITALAN SEMULA LAGU FILEM MELAYU KLASIK DALAM " LAGU DARI SELULOID "

LAGU DARI SELULOID

Lagu dari seluloid VOLUME 2 - Kesinambungan Projek Pengarkiban Pendigitalan 10 Lagu Dari Filem Melayu Klasik Era 1950- 1959 Pengarkiban yang terhasil ini diharap mampu menjadi rujukan buat proses perkembangan muzik dan filem di masa akan datang serta mampu memupuk rasa kecintaan terhadap irama muzik Melayu Klasik kita. 


KUALA LUMPUR, 25 FEBRUARI 2025 – Tidak hanya hiburan semata-mata, namun LAGU DARI SELULOID VOLUME 2 adalah sebuah projek pengarkiban pendigitalan dan rakaman semula (secara digital) 10 lagu-lagu dari filem Melayu Klasik tahun 1950-1959. 


Inisiatif ini dilakukan agar hasil daripada proses pendigitalan skor-skor muzik dan rakaman semula audio (secara digital) bagi 10 buah lagi ini dapat diselarikan dengan peredaran dunia digital dan proses IR4/IR5 pada masa kini. 


Diicetuskan Mac Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Studio Funky Brigade, projek ini juga dilakukan bagi memastikan khazanah seni warisan bangsa terus dapat dikekalkan, diakses serta terpelihara untuk rujukan masa kini serta generasi akan datang. 


Apatah lagi, lagu-lagu dari filem Melayu era 1950- an adalah sebahagian daripada khazanah negara yang cukup berharga serta mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri serta dihasilkan menggunakan rakaman muzik dan nyanyian secara ‘live’ tanpa dibantu pelbagai teknologi yang canggih seperti mana yang ada pada hari ini. 


Projek LAGU DARI SELULOID VOLUME 2 yang merupakan kesinambungan daripada projek LAGU DARI SELULOID yang dihasilkan pada tahun lalu ini juga adalah suatu usaha untuk mengangkat martabat, mengenang jasa serta mengangkat hasil kerja seni komposer, penulis lirik dan penyanyi. 


Pada waktu yang sama, pengarkiban yang terhasil ini diharap mampu menjadi rujukan buat proses perkembangan muzik dan filem di masa akan datang serta mampu memupuk rasa kecintaan terhadap irama muzik Melayu Klasik kita. 


Projek LAGU DARI SELULOID VOLUME 2 kali ini mengetengahkan lagu Merpati Dua Sejoli (filem Bakti - 1950), Semarak Hati – (filem Juwita – 1951), Mesra Ibu/Kasih Ibu – (filem Sedarah – 1952), Ingin Tahu (filem Hujan Panas – 1953) , Chahaya – (filem Insaf – 1954), Sejakku Bertemu Padamu – (filem 4 Isteri -1955). Lagu yang turut terlibat adalah Tiada Kata Secantik Bahasa (filem Anakku Sazali – 1956), Nak Dara Rindu – (filem Bujang Lapok – 1957), Sumpah Tanda Setia (filem Gergasi – 1958) serta Sang Ratu – (filem Raden Mas – 1959). 


Barisan penyanyi yang terlibat dalam Program Lagu Dari Seluloid VOLUME 2 ini adalah Aqasha, Sharifah Zarina, Ayu Damit, Azizul Haqim, Ezdianie Hayatie dan Idris Brown. 





Ada lagu yang menampilkan mereka secara nyanyian solo dan ada juga dalam bentuk duet. Bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat mengenai sejarah di sebalik penciptaan lagu-lagu era 1950-an ini, pelbagai kajian turut dilakukan termasuk mewawancara dua tokoh penting iaitu masestro muzik dan komposer, Dato’ Dr. Johari Salleh serta pelakon dan penyanyi Ahmad Fauzi. 


Kedua-dua tokoh ini tidak hanya mengikuti serta menyimpan banyak catatan tentang sejarah dan perkembangan muzik dan sinema Malaysia di era kegemilannya di Singapura tetapi juga mempunyai hubungan yang cukup dekat dan erat dengan anak-anak seni di zaman tersebut. 


Pengarah Urusan Mac Traing Centre, Puan Samirah Hambali berkata, menyedari bahwa pentingnya pengarkiban pendigitalan skor-skor muzik dan rakaman semula (secara digital) khususnya bagi lagu-lagu dalam filem Melayu Klasik era 1950-an, pihaknya mengambil keputusan untuk menghasilkan kesinambungan projek ini. 


“Terima kasih kepada Yayasan Hasanah yang masih menaruh kepercayaan untuk kami memikul tanggungjawab yang bukan kecil ini,” katanya. Sementara itu, Pengarah projek merangkap pengarah muzik, Shamsul Cairel berkata, pemilihan lagu-lagu masih lagi mengekalkan sumber-sumber dari filem tahun 1950 hingga 1959. 


“Ada juga cabaran yang terpaksa kami tempuhi dalam melaksanakan projek dalam LAGU DARI SELULOID VOLUME 2. Misalnya, filem Bakti sudah tidak punya salinan seluloid. Bahkan, Ahmad Fauzee sendiri pun tidak ada salinannya. 



“Jadi, kami menemui kesukaran untuk membuat rujukan bagi lagu Merpati Dua Sejoli yang dimuatkan dalam filem tersebut. Tapi, mujur masih ada klipping (potongan) filem ini yang dimuatnaik pencinta filem lama di media sosial, jadi kita dapat lakukan pengarkibannya dengan melakukan skor muziknya dalam bentuk yang lebih segar. 


“Kalau tanya mengapa fokus projek ini lebih kepada lagu-lagu dalam filem Melayu Klasik era 50-an, jawapannya mudah. Era 50-an sebetulnya merupakan era meledaknya muzik dan filem Melayu Klasik. 


“Sebab, ketika itulah bermulanya transisi daripada bangsawan ke filem yang mana ia juag berlaku selepas era perang dunia kedua,” katanya lagi. Mac Training Centre Sdn Bhd turut menjalinkan kerjasama strategik dengan ASWARA yang melibatkan Pensyarah, Alumni dan pemuzik-pemuzik dari Fakulti Muzik, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem serta Fakulti Pengurusan Seni dan Budaya. Penyelidikan turut dibuat di Bahagian Muzik RTM, Arkib Negara serta Perpustakaan Negara, Manakala, pemuzik-pemuzik yang terlibat pula dari kalangan pelajar muzik Aswara serta beberapa tenaga profesional. 



Rakaman audio dan intipati visual yang mengandungi kredit nama para komposer, penulis lirik dan penyanyi di samping skor-skor instrumentasi untuk projek LAGU DARI SELULOID VOLUME 2 ini akan ditayangkan di Youtube channel Mac Training Centre Sdn Bhd pada hari Rabu, 27 Februarii 2025.