SOSIAL MEDIA

16 March, 2025

KOLABORASI SULUNG BLACK & ADIRA DALAM LAGU RAYA ‘SYAWAL RINDU’

BLACK & ADIRA


Dua bintang terkenal industri muzik tanah air, Black Hanifah dan Adira Suhaimi muncul dengan sebuah lagu raya baharu berjudul ‘Syawal Rindu’ yang menjanjikan sentuhan emosi dan nostalgia bagi peminat muzik tanah air.

 

‘Syawal Rindu’ mengisahkan perasaan rindu dan kasih terhadap keluarga serta kenangan lebaran yang tidak dapat diraikan bersama orang tersayang. Lagu ini menggabungkan melodi syahdu dengan lirik yang menyentuh perasaan, menjadikannya lagu yang sesuai untuk didengarkan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

 

Dicipta oleh Rudy Nastia, Aiman Zaidi, Aizad Khan dan Kelana serta lirik oleh Aiman Zaidi, ‘Syawal Rindu’ menampilkan harmoni vokal yang mantap antara Black dan Adira. 


Kedua-dua penyanyi ini dikenali dengan keupayaan vokal yang luar biasa, dan kolaborasi mereka dalam lagu ini menambah lagi keunikan serta keistimewaan kepada naskhah raya ini.

 

Menurut Black, lagu ini mempunyai makna yang mendalam kerana ia menggambarkan situasi ramai individu yang tidak dapat pulang ke kampung halaman atau beraya bersama keluarga.

 

“Saya percaya ramai yang akan dapat menghayati mesej dalam lagu ini, lebih-lebih lagi mereka yang berjauhan dari insan tersayang pada musim perayaan.



“Kesenian dalam lirik dan melodi lagu ini mampu menyentuh titik sensitif dalam jiwa setiap pendengar, membawa mereka merasai betapa pentingnya kasih sayang dan kebersamaan, terutama di saat-saat di mana jarak dan waktu menghalangi keinginan untuk bersatu di tengah riuhnya keramaian menyambut lebaran.

 

“Semua ini disampaikan dengan jelas dalam bait-bait lagu dengan alunan penuh penghayatan, sekali gus menciptakan gambaran yang sangat nyata mengenai kerinduan yang mendalam yang mungkin dirasakan banyak orang di dunia ini,” katanya.


Adira turut berkongsi rasa teruja dapat bekerjasama dengan Black dalam lagu ini.

 

“Saya amat bersyukur dan teruja kerana dapat menyampaikan lagu ini bersama Black. Saya dapat merasakan sinergi kami semasa bekerja bersama sekali gus mencipta satu suasana yang kreatif dan penuh semangat.

 

“Kami saling memberi inspirasi dan sokongan untuk menghasilkan sebuah karya yang bermakna dan berkualiti. Pada masa sama, saya juga berasa bersyukur kerana dapat timba ilmu daripada Black, seorang penyanyi yang berpengalaman dan berbakat dalam industri muzik.



“Dengan adanya kolaborasi ini, saya yakin bahawa lagu yang dihasilkan ini akan menjadi sesuatu yang istimewa dan mampu menyentuh hati peminat muzik. Ditambah dengan liriknya yang cukup terkesan, saya berharap pendengar dapat lebih menjiwai sambutan Aidilfitri tahun ini menerusi lagu ini,” katanya.

 

Lagu ‘Syawal Rindu’ terbitan Nova Music ini dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman muzik termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube, bermula 14 Mac ini.