SOSIAL MEDIA

12 March, 2025

ACHEY KEMBALI MEMERIAHKAN SUASANA RAYA DENGAN " RAGAM RAYA " BERSMA TANTARI DAN BABY FEAAA

ACHEY

Penyanyi dan komposer popular, Achey kembali memeriahkan Aidilfitri dengan single raya terbarunya, 'Ragam Raya' yang turut menampilkan penyanyi baru, Baby Feaaa dan penyanyi cilik viral, Tantari. Lagu ini mengangkat pelbagai ragam dan persiapan masyarakat menjelang Hari Raya Aidilfitri termasuk trend membeli baju baru dan pelbagai keunikan lain yang sering berlaku tetapi jarang diketengahkan dalam lagu raya.


Menurut Achey yang juga komposer lagu ini, ‘Ragam Raya’ telah dihasilkan sejak penghujung September lalu namun rakaman dilakukan kemudian bagi menyesuaikan jadual semua artis terlibat. 


"Saya dah buat demo lagu pada September tapi rakaman mengambil masa kerana perlu menyesuaikan jadual Baby Feaaa dan Tantari. Baby Feaaa pula sedang belajar di Kelantan jadi proses rakaman sedikit tertangguh," kata Achey.


Achey menjelaskan bahawa pemilihan Baby Feaaa dalam lagu ini dibuat kerana beliau adalah anak kepada Allahyarham Harun Salim Bachik yang pernah membantu mencungkil bakatnya dalam industri seni. 


"Arwah Harun pernah membantu saya pada tahun 2012 dan selepas ketiadaan beliau, saya rasa terpanggil untuk membawa Baby Feaaa ke hadapan. Alhamdulillah, sebelum ini dia sudah ada lagu duet dengan saya berjudul Kabus dan kini kami keluarkan lagu raya bersama," katanya.


Selain itu, Tantari turut terlibat dalam lagu ini kerana beliau juga pernah berduet dengan Achey sebelum ini dalam lagu ‘Biar’.


"Lagu raya ini ibarat satu kumpulan kecil yang saya hasilkan untuk menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah menyanyikan lagu ciptaan saya. Setiap tahun, saya bercadang untuk mengumpulkan mereka dalam sebuah lagu raya bersama," ujar Achey.



Lagu ini menceritakan ragam masyarakat dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk obsesi membeli pakaian baru dan perbincangan tentang siapa yang masih memakai pakaian lama.
 


Achey mahu memastikan setiap lagu rayanya menampilkan elemen yang jarang diketengahkan dalam lagu raya biasa. 


"Kalau tahun sebelum ini saya buat lagu 'Raya Rempit' yang menceritakan tentang kegilaan menghias motosikal sempena hari raya, kali ini saya angkat realiti persiapan raya yang biasa tetapi tidak selalu dimasukkan dalam lagu," jelasnya. Achey berharap lagu ini akan diterima ramai dan menjadi salah satu lagu raya yang dimainkan setiap tahun. 



"Saya ingin berterima kasih kepada label saya iaitu syarikat rakaman Seventeen Eleven Music, 360 Production, rakan media serta penaja utama, Sepulau Bintang yang telah membantu menjayakan muzik video lagu ini. Harapan saya, lagu ini akan diterima ramai dan mungkin menjadi viral," katanya.


Selain itu, Achey turut merancang untuk menampilkan seorang lagi penyanyi dalam projek muziknya selepas hari raya nanti termasuk anaknya sendiri yang bakal membuat pelbagai cover lagu dalam versi kanak-kanak.