SOSIAL MEDIA

12 February, 2025

LUCA SICKTA, KMY KMO & SALAMMUSIK NAK “KEMANA NI”

LUCA SICKTA, KMY KMO & SALAMMUSIK

Tiga Nama Besar Industri Muzik Malaysia Berpadu Suara Dalam Single Terbaharu Edaran Sony Music Malaysia 

Kuala Lumpur, 7 Februari 2025 – Industri hip hop tempatan kembali hangat dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Kemana Ni”, hasil kolaborasi tiga nama besar industri muzik Malaysia—Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik. 

Dengan edaran rasmi oleh label terkenal, Sony Music Malaysia, lagu ini bukan sekadar gabungan sonik yang unik antara hip hop dan reggae, tetapi juga membawa mesej introspektif tentang hala tuju kehidupan di tengah arus dunia moden yang semakin mencabar. 


Lahir Dari Sebuah Perjalanan & Persahabatan Kemana Ni bukan sekadar kolaborasi, tetapi sebuah perjalanan yang bermula sejak tahun 2018. Idea asal lagu ini lahirsetelah kejayaan lagu “Gong Nekara” pada tahun yang sama, Kmy Kmo terpanggil mencipta sebuah karya yang menggambarkan perjalanan hidup manusia dalam mencari arah dan makna. 

Menurut Luca Sickta, projek ini sudah lama direncanakan dan akhirnya berjaya direalisasikan setelah melalui pelbagai fasa penciptaan. “Salammusik merupakan artis pertama yang kami dekati untuk projek ini, dan yang terawal menyambut baik idea ini. 

Dia menanti dengan sabar sejak 2018, dan kini lagu ini akhirnya dapat dikongsi dengan dunia.” Bagi Salammusik, perjalanan penghasilan lagu ini membawa satu pengalaman yang unik. 

“Saya dihubungi oleh Luca ketika masih berada di Amsterdam. Dia berkongsi lakaran awal lagu ini, dan saya terus tertarik. Walaupun kebanyakan rakaman dan penulisan dilakukan secara jarak jauh, semangat dan tenaga lagu ini tetap terasa kuat.

” Sebuah Karya Yang Membicarakan Realiti Hidup Di sebalik melodinya yang rancak dan alunannya yang santai, Kemana Ni membawa satu persoalan mendalam—ke mana sebenarnya hala tuju kita dalam hidup? Bagi Kmy Kmo, lagu ini menangkap perasaan seseorang yang baru sahaja melangkah ke alam kedewasaan dan perlu membuat keputusan besar dalam hidup. 

“Hidup sebenar bermula apabila kita melangkah keluar darizon selesa. Saat itulah kita benar-benar diuji untuk mencari arah dan membina kehidupan sendiri,” jelasnya. Bagi Salammusik, lagu ini juga adalah peringatan bahawa kegagalan bukan pengakhiran, tetapi sebahagian daripada proses menuju kejayaan. 

“Keberanian perlu disertai dengan ilmu dan persiapan yang rapi. Kita perlu berani untuk jatuh dan bangkit semula,” tambahnya. Menariknya, frasa “kemana ni” yang menjadi tajuk lagu ini juga sangat dekat dengan masyarakat Malaysia—sama ada dalam makna literal mahupun sebagaisatu refleksi terhadap perjalanan kehidupan. 

Gabungan Hip Hop & Reggae Yang Segar Dari sudut muzik, Kemana Ni membawa satu dimensi baharu dalam industri tempatan dengan menggabungkan dua genre yang mempunyai jiwa tersendiri—hip hop dan reggae. Sebagai produser dan komposer, Luca Sickta memastikan setiap elemen dalam lagu ini disusun dengan teliti. 

“Saya dan Kmy sudah bekerja bersama dalam banyak projek, jadi momentum kami amat serasi, ibarat gula dan air. Manakala, kehadiran Salammusik memberikan warna yang berbeza dengan keunikan gaya reggae yang sudah menjadi identitinya.

” Bagi Kmy Kmo, bekerjasama dengan Salammusik adalah satu impian yang akhirnya menjadi kenyataan. “Salammusik adalah antara artis yang saya jadikan rujukan dalam irama reggae dan dancehall. Saya selalu membayangkan untuk berkolaborasi dengannya, dan akhirnya impian itu menjadi realiti.” 

Harapan & Impian Untuk “Kemana Ni” Setiap karya muzik yang hebat lahir dengan harapan untuk menyentuh hati pendengar. Itulah yang diimpikan oleh Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik untuk Kemana Ni. 

Menurut Kmy Kmo, lagu ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada mereka yang mencari hala tuju dalam hidup. “Kami mahu lagu ini menjadi pembakar semangat, terutamanya pada waktu pagi sebelum memulakan hari—sesuatu yang memberikan motivasi kepada pendengar.” 

Bagi Salammusik, lagu ini harus dirasai sebagai satu kehadiran yang memberikan kekuatan. “Mudah-mudahan lagu ini dapat menjadi teman kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dorongan untuk terus maju ke depan.”