Kuala Lumpur, 20 Februari 2025 – Bagi meraikan perjalanan seni dua dekad sejak kemenangan bersejarahnya dalam Malaysian Idol, penyanyi “power house” Jaclyn Victor tampil dengan hadiah istimewa buat peminat kesayangannya—pelancaran album terbaharu, “Glorious”, diedarkan oleh syarikat rakaman terkenal, Sony Music Malaysia.
Glorious menawarkan kepelbagaian muzik, daripada karya rock bertenaga tinggi seperti “Inilah Saatnya”, pop kontemporari seperti “Lepaskan Saja”, hinggalah ke balada penuh emosi seperti “Sesal Tak Bermakna” dan “Airmataku”. Dengan susunan lagu yang bervariasi, album ini membawa pendengar dalam sebuah perjalanan emosi yang bakal menyentuh hati peminat lama serta menarik perhatian generasi baharu.
Lagu utama album ini, Glorious, merupakan versi Inggeris kepada lagu ikonik Gemilang, yang selama ini menjadi simbol kejayaan buat Jaclyn. Dengan mengambil inspirasi daripada lagu-lagu terkenal, susunan baharu lagu ini menampilkan elemen moden yang digabungkan dengan kehebatan vokal Jaclyn, namun masih mengekalkan semangat asal Gemilang.
Bagi memastikan lagu-lagu dalam album ini benar-benar mencerminkan perjalanan seni dan kisah hidup Jaclyn, para komposer dan penulis lirik telah mengambil masa berbulan-bulan lamanya memahami kisah jatuh bangunnya sebagai seorang wanita dalam industri muzik. Glorious bukan sekadar album, tetapi sebuah koleksi lagu yang mengangkat tema cinta yang hilang dan ditemui kembali, kepercayaan terhadap diri sendiri, serta ketabahan dalam menghadapi cabaran.