KUALA LUMPUR, 16 Februari 2025 - Ernie Zakri sudah mencipta nama kukuh di Malaysia, memukau ramai dengan vokal mantapnya, tahap nyanyian hebat, dan corak persembahan pentas yang mengagumkan.
Selama lebih 15 tahun, dia kekal menjadi penyanyi bervokal hebat yang paling disanjungi, sejak meledak naik selepas menjuarai sebuah pertandingan mencari bakat tempatan pada 2009.
Sejak bernaung di bawah Universal Music Malaysia pada 2023, kembara Ernie ke tahap lebih tinggi berterusan dengan pelancaran album studio keduanya, Aura, pada sekitar tahun sama.
Album mengandungi 10 lagu itu turut memuatkan single Masing Masing yang kukuh mendominasi carta-carta muzik, sebuah karya balada digilai pendengar sekitar rantau Asia Tenggara.
Lagu berkenaan turut dijadikan satu daripada runut bunyi drama rantaian popular Indonesia berjudul Luka Cinta sehingga mencetus fenomena di peringkat nusantara.
Di Malaysia, Masing Masing diiktiraf Industri Rakaman Malaysia (Persatuan Kebangsaan Malaysia untuk Persekutuan Antarabangsa dari Industri Fonografik (INFPI)) sebagai pemegang rekod lagu nombor satu paling lama bertahan dalam carta domestik RIM, mendominasi selama 27 minggu dalam tahun 2024.
Menurut Kim Lim, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, “Ernie adalah bukti kejayaan terbesar untuk inisiatif ‘Nusantara’ kami. Dia meraih pengiktirafan mengagumkan sebagai artis sulung Malaysia melakar sejarah menduduki tangga tertinggi carta IFPI di tiga negara iaitu Indonesia, Malaysia, dan Singapura dengan Masing Masing.
“Kini, inisiatif untuk terus maju ke depan adalah dengan fokuskan kepada strategi Ernie iaitu menguatkan lagi hubungannya bersama peminat menerusi pengalaman menyantuni peminat setianya.
“Keterujaan terhadap industri muzik sekarang membuka pelbagai peluang untuk meneroka laluan berbeza buat muziknya, termasuk kolaborasi di peringkat global bersama artis antarabangsa dan pemuzik seluruh dunia.”
Dengan lebih 130 juta penstriman di Spotify, Masing Masing adalah lagu Melayu paling tertinggi distrim menerusi platform itu.
“Pelbagai kejayaan diraih menerusi carta ini saja sudah membuktikan perkembangan trend dalam industri muzik global memandangkan artis dari seluruh dunia menikmati kejayaan baik di peringkat domestik mahupun pentas dunia,” katanya Adam Granite, CEO Universal Music Africa, Timur Tengah, dan Asia.
Momentum Ernie terus kukuh pada 2025 ini. Konsert solonya di Kuala Lumpur pada 25 Januari laku terjual habis dalam tempoh tujuh jam saja, menandakan popularitinya tiada tandingan.
Dia turut dilantik Badan Promosi Pelancongan Malaysia sebagai ikon rasmi kempen Lawat Malaysia 2026 dan menyanyikan lagu temanya berjudul ‘Surreal Experiences’, satu lagi pencapaian manis dalam kariernya.
Berkongsi pencapaian-pencapaian itu, Ernie berkata,” Saya cukup terharu dengan sokongan tanpa henti terhadap Masing Masing. Kembara ini menjadi bukti kepada kasih sayang serta jalinan peminat terhadap muzik saya.”
Menyemarakkan lagi pencapaian muzikalnya, Ernie turut mengumpul pengikut media sosial yang cukup ampuh, dengan keseluruhannya 2.6 juta pengikut daripada pelbagai platform.
Dengan jumlah ikutan cukup tinggi itu, Ernie menjadi sorotan jenama-jenama besar serta sudah bekerjasama dengan pengiklan ternama termasuk Eucerin dan Samsung.
Semakin meraih pelbagai pujian, sinar pesona bintang Ernie Zakri kian menyala kala ini, mengukuhkan lagi legasinya sebagai bakat luar biasa yang ada di Asia Tenggara.