SOSIAL MEDIA

11 January, 2025

SINAR “PELANGI” AMIR HASAN OST TERBARU "CIKGU DIVA"

AMIR HASAN, CIKGU DIVA,PELANGI

Bintang Hip Hop Berbakat Kembali Dengan Single Terbaharu OST Drama Bersiri “Cikgu Diva” Terbitan Sony Music Malaysia Dengan Kerjasama Alternate Records Kuala Lumpur, 30 Disember 2024 - Bintang hip hop yang kian meningkat naik, Amir Hasan, kembali mencuri perhatian penggemar muzik dengan single terbaharunya berjudul “Pelangi”, yang menjadi runut bunyi rasmi (OST) untuk drama bersiri slot Lestary TV3, "Cikgu Diva". 

Baharu sahaja tampil dengan single “Manis” kira-kira sebulan yang lalu, Amir terus komited sebagai seorang penyanyi dan pencipta lagu yang sentiasa menonjolkan sisi kreatifnya dalam mengadun elemen muzik yang pelbagai. 

“Alhamdulillah syukur kerana lagu ‘Manis’ mendapat sambutan yang memberangsangkan, pendengar memberitahu mereka dapat rasakan sesuatu yang segar dari saya,” kongsi Amir. Inspirasi Disebalik “Pelangi” Dihasilkan dengan penuh dedikasi, “Pelangi” menggambarkan kisah cinta remaja yang penuh keindahan dan makna. “Lagu ini adalah tentang pertemuan pasangan yang mengajar erti cinta. 

Saya menulisnya berdasarkan pengalaman dan imaginasi, dengan harapan ia dapat menyentuh hati mereka yang mendengarnya,” kata Amir. Lagu ini adalah hasil kolaborasi di antara Amir, madebyartin yang bertanggungjawab dalam susunan muzik, serta SHR yang menyempurnakan gubahan liriknya. Gabungan genre R&B, pop dan rap memberikan “Pelangi” nuansa segar yang sesuai dengan citarasa pendengar masa kini. “Saya mahu setiap lagu yang saya hasilkan membawa elemen baharu. Dengan ‘Pelangi’, saya cuba menggambarkan perjalanan emosi yang santai namun bermakna,” tambah Amir. 

Proses Kreatif “Pelangi” Menariknya, “Pelangi” telah pun siap sepenuhnya pada awal tahun 2024 lagi, namun setelah menarik minat pihak produksi “Cikgu Diva”, Amir dan pasukan kreatifnya mengambil masa selama sebulan untuk melakukan pengubahsuaian terhadap lirik dan melodinya. “Proses ini amat penting untuk memastikan lagu ini benar-benar serasi dengan tema drama dan relevan untuk audien,” ujar Amir. 


“Saya percaya bahawa lagu ini dapat memperkayakan lagi pengalaman penonton drama tersebut.” Drama “Cikgu Diva” Drama bersiri 8 episod yang bakal ditayangkan mulai 31 Januari 2025 ini dibintangi nama-nama popular tanah air seperti Eyka Farhana, Fitri Farok, Syad Mutalib dan ramai lagi berkisar tentang alam persekolahan yang penuh dengan keseronokan, persahabatan dan pengajaran. Evolusi Muzik Amir Hasan Sejak mula berkecimpung dalam industri muzik, Amir dikenali sebagai seorang artis yang sentiasa bereksperimen dengan pelbagai bunyi dan genre. Kejayaan single-singlenya terdahulu membuktikan kemampuan Amir dalam menarik perhatian pendengar dengan muzik yang segar dan optimistik. 

Kini, “Pelangi” hadir sebagai simbol evolusi kreatif dirinya. “Setiap karya yang saya hasilkan adalah refleksi perjalanan seni saya. Saya ingin pendengar melihat sendiri perkembangan saya melalui lagu-lagu ini,” jelas Amir. 

“‘Pelangi’ adalah tentang membawa sesuatu yang baharu yang belum pernah saya hasilkan sebelum ini, tetapi masih mengekalkan identiti muzik saya.” Harapan Secerah “Pelangi” & Pelan Masa Hadapan Amir tidak dapat menyembunyikan perasaan keterujaannya terhadap pelancaran single ini. “‘Pelangi’ adalah permulaan baharu buat saya pada tahun 2025. 

Saya berharap lagu ini dapat memberi inspirasi kepada pendengar untuk menghargai momen-momen indah dalam hidup mereka,” katanya. Di samping itu, Amir juga turut berkongsi perancangan projek besarnya buat tahun 2025 nanti iaitu pelancaran album studio pertamanya. 

“Album ini adalah hasil usaha bertahun-tahun lamanya, dan ia mencerminkan pelbagai sisi diri saya sebagai seorang artis, dan saya tidak sabar untuk berkongsi karya ini dengan semua,” ujarnya penuh harapan. 

Amir berharap agar “Pelangi” tidak hanya menghiburkan tetapi menjadi lagu yang membawa aura positif. “Saya amat berterima kasih di atas sokongan peminat yang tidak putus-putus. Saya berjanji untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap karya yang saya hasilkan,” kata Amir dengan penuh penghargaan.