SOSIAL MEDIA

06 January, 2025

JENAYAH ‘SCAM’ DALAM DRAMA DIN TIGER , ARAHAN DATO’ AFDLIN SHAUKI DI UNIFI TV


UNIFI TV hari ini mengumumkan tayangan perdana produksi original terbaharunya yang sangat dinanti-nantikan, DIN TIGER arahan pengarah tersohor, Dato’ Afdlin Shauki. 


Drama bersiri 8 episod terbitan KL Post Sdn Bhd hasil karya penulis skrip Norsyiella Annuar, Haris M.Nor, Amin Shakib, Lepat, Rahman Nayan ini mengangkat isu jenayah ‘scam’ yang semakin menjadi-jadi di Malaysia dan bagaimana kegiatan ini berjaya dirancang dengan liciknya sehingga mampu memperdayakan mangsa daripada pelbagai golongan. 


UNIFI TV ORIGINALS: DIN TIGER ini bakal ditayangkan bermula 6 JANUARI 2025, setiap Isnin, jam 11 malam di DEGUP HD, Saluran 120, eksklusif di Unifi TV. 


Ia mengisahkan tentang pakar ‘scammer’, Din Tiger (Dato’ Aaron Aziz) yang sudah tekad dan berazam untuk meninggalkan dunia kotornya kerana mahu membina kehidupan yang lebih baik dan sejahtera buat anak dan isterinya. 


Din Tiger kemudian membuka perniagaan kedai menjual gajet, namun dia terjerat dalam sebuah kes berat. Pada masa yang sama, Din Tiger perlu berdepan dengan Boss Mario/Tan Sri Aliff (Dato’ Afdlin Shauki) yang tidak mahu melepaskan dirinya ‘bebas’ begitu sahaja. 



Pengerusi KL Post Sdn Bhd yang juga pengarah serta pencipta DIN TIGER, Dato’ Afdlin Shauki berkata, idea di sebalik cerita ini tercetus berdasarkan rangkuman pengalaman peribadinya sendiri serta orang-orang lain yang pernah menjadi mangsa ‘scam’. 


“Tetapi, saya cuba membuat pembaharuan dengan memaparkan sisi atau perspektif orang yang melakukan ‘scam’ ini kerana mahu memberikan edukasi kepada masyarakat mengenai dunia jenayah penipuan ini secara lebih mendalam lagi dan bagaimana mereka menjalankan modus operandi mereka dengan begitu tersusun dan licik. 


“Saya juga bernasib baik kerana mendapat bantuan daripada dua orang bekas pegawai polis, Tuan Rahmat Fitri Abdullah dan Tuan Kamal Affandi Hashim yang pernah berkhidmat di bahagian jenayah komersil. 


“Mereka inilah yang banyak memberikan ‘input’ dan pendedahan kepada saya tentang jenis- jenis ‘scam’ yang banyak berlaku di Malaysia, bagaimana ‘scammer’ menjalankan operasi mereka serta melakukan ‘scamming’ menggunakan rangkaian yang cukup rapi dan tersusun sehingga sukar untuk ia dibanteras,” kata Afdlin. 


Menurut Afdlin lagi, demi merealisasikan drama bersiri DIN TIGER ini, khidmat dan pemilihan pelakon hebat, Datuk Aaron Aziz menjadi keutamaan serta hasratnya. 


“Sepanjang kerjaya saya sebagai pengarah mahupun pelakon, saya tidak pernah bekerja dengan Dato’ Aaron Aziz dan saya fikir, ini adalah masanya. Lagipun, saya banyak dengar cerita yang bagus tentang dirinya serta profesionalisme yang dimiliknya. Ia membuatkan saya secara tidak langsung menjadi peminatnya,” katanya lagi. 



Bergenre dramatik thriller aksi, DIN TIGER dibintangi ramai pelakon berkaliber seperti Josiah Hogan, Tony Eusoff, Datin Sri Nina Juren, Mia Sara Shauki, Adam Corrie Lee selain Dato’ Aaron Aziz dan Dato’ Afdlin Shauki sendiri. 


DEGUP HD, Saluran 120, merupakan salah satu saluran eksklusif di Unifi TV yang menyajikan pelbagai filem blokbuster, merangkumi drama bersiri tempatan seperti Unifi TV Originals hingga ke filem-filem antarabangsa. Saluran ini menawarkan kandungan berfokuskan genre seram dan aksi, yang boleh diakses semua pelanggan Unifi TV secara pecuma melalui Unifi TV Box dan aplikasi Unifi TV. 


Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama DIN TIGER yang sarat dengan ‘twist and turn’ 6 JANUARI 2025, setiap Isnin, bermula jam 11 malam, hanya di DEGUP HD, Saluran 120, eksklusif di Unifi TV. Strim secara percuma melalui aplikasi Unifi TV atau ulang tonton menerusi “Catch Up”.