Kumpulan terkenal dari Indonesia, Samsons mengotakan janji mereka dalam memberikan persembahan terbaik dan luar biasa pada Samsons 20th Anniversary Live Concert in Malaysia 2023 yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Konsert yang dianjurkan secara eksklusif oleh Ultimate Film itu berjaya menghimpunkan peminat setia Samsons hingga menjadikan persembahan mereka ‘full house’ serta kenangan terindah buat semua yang hadir.
Samsons yang dianggotai oleh Adrian (vokalis), Irfan Aulia (gitar), Aldri Dataviadi (bass) dan Erik Partogi Siagian (gitar) berjaya menjadikan konsert sempena ulang tahun ke-20 mereka dalam industri muzik Indonesia berbaloi sekali gus meletakkan mereka di kelas tersendiri.
Membuka tirai persembahan dengan lagu Kisah Yang Tak Sempurna ditambah dengan pelbagai kesan visual termasuk ‘hallow screen’ yang disertakan dengan pancaran kesan visual 3D menjadikan penonton hanyut dibuat perasaan.
Tidak sedar rentak lagu yang dinyanyikan benar-benar membawa penonton larut dalam emosi. Malah, aksi bersahaja vokalisnya, Adrian turun ke arah penonton sambil mengajak menyanyi bersama lagu Bukan Diriku membuatkan penonton tidak duduk diam. Inilah antara momen dan detik indah takkan dilupakan peminat Samsons.
Deretan lagu hits yang pernah dihasilkan Samsons disampaikan cukup sempurna dengan diiringi nyanyian bersama oleh seluruh pencinta mereka. Itu juga membuktikan muzik yang dibawakan mereka cukup kuat bernafas dalam diri peminat.
Ketua Pegawai Eksekutif Ultimate Film, Lai Yun Ka berkata, pihaknya sangat teruja dan bangga dengan kejayaan dirai Samsons 20th Anniversary Live Concert in Malaysia 2023.
“Walaupun konsert ini diadakan pada suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri, ia tidak menghalang peminat untuk membeli tiket dan hadir menyaksikan konsert ini. Apatah lagi kehadiran Samsons menerusi konsert ini adalah bagi meraikan ulang tahun ke-20 mereka.
“Sebagai penganjur, tentu saja kami gembira dan bangga apabila konsert ini berlangsung dengan jayanya hingga ‘full house’. Dapat dilihat bagaimana keterujaan peminat menyaksikan kumpulan kegemaran mereka dari Indonesia membuat persembahan.
“Pastinya juga kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Samsons atas kerjasama yang baik dari awal hingga konsert ini berakhir. Mereka memang penghibur sejati. Ini satu lagi pengalaman istimewa buat kami semua,” katanya.
Menurutnya, kejayaan konsert itu juga adalah langkah awal untuk Ultimate Film dalam menganjurkan lebih banyak lagi konsert tempatan dan antarabangsa lain.
“Selepas ini kita akan teruskan dengan beberapa siri konsert lain pula membabitkan artis tempatan dan antarabangsa. Siapa? Nantikan daripada kami,” katanya.
Mewakili Samsons, Irfan berkata, keberadaan mereka pada konsert itu adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka.
“Satu penghormatan buat kami untuk membuat persembahan di hadapan anda semua. Ini kali pertama Samsons kembali bersama vokalis baharu, Adrian.
“Kami juga tidak percaya kerana masih boleh terus berkarya hingga saat ini. Tak percaya kami berada di sini untuk menjayakan konsert ulang tahun ke-20 Samsons bersama anda. Terima kasih kerana terus menjadi peminat setia Samsons,” katanya.
Antara lagu yang dinyanyikan termasuklah Kenangan Terindah, Naluri Lelaki, Luluh, Insan Tak Sempurna, Bukan Diriku dan banyak lagi.