05 November, 2019

KOR RISIK DIRAJA ATM MENGANJURKAN KONSERT METAL SOUND

TIGA MALAM KONSERT TANPA HENTI

TIGA hari dan tiga konsert yang berbeza merupakan antara kelainan yang menjadi pengisian kepada Pesta Kor Risik DiRaja yang bakal diadakan pada 6 hingga 8 Disember hadapan. Sudah pasti barisan artis yang dipilih juga tak kurang hebat dan sudah mempunyai pengikut tersendiri sejak dahulu lagi.


Dianjurkan oleh bahagian Kor Risik DiRaja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pelbagai acara lain turut diisi bagi memberikan pendedahan kepada orang ramai khususnya pengunjung untuk sama-sama mengenali dengan lebih dekat kehebatan prajurit negara khususnya bahagian risikan yang dipandang tinggi di mata dunia.

I-Café Bikerstation yang diberikan kepercayaan menganjurkan acara hiburan pada ketiga-tiga malam tersebut memilih ramai nama-nama besar untuk bersama-sama memeriahkan Sambutan Jubli Emas bahagian risikan berkenaan.


Pada 6 Disember, Konsert Metal Sound bakal menggegarkan MAEPS Serdang dengan gabungan kumpulan XPDC dan May. Sudah pasti kedua-dua kumpulan bukan lagi asing dan mempunyai banyak koleksi lagu-lagu rock yang kekal diminati hingga ke hari ini.

7 Disember pula, Datuk Hattan, kumpulan Lefthanded dan Haiza pula akan mengambil alih pentas sempena acara Golden Acorn Gala Night. Sudah pasti gabungan ketiga-tiga penyanyi ini bukan sahaja mewakili pelbagai genre tetapi juga akan memberikan kepuasan maksimum kepada mereka yang hadir sama memberikan sokongan kepada acara makan malam istimewa ini. 

Bertujuan mengumpulkan dana untuk Yayasan Kor Risik DiRaja, jualan meja akan dikenakan kepada mereka yang mahu turut serta bermula dengan harga RM3,000 (silver), RM4,000 (gold) dan RM5,000 (premium).

Pada malam terakhir iaitu pada 8 Disember pula, gabungan kumpulan lama dan baharu pula akan mengambil tempat sempena malam Rich Millennium. Kumpulan Floor 88, Khalifah dan Band Sentuhan akan menghiburkan pengunjung yang hadir dengan lagu popular mereka.


Bakal dikendalikan oleh Ismahalil Hamzah selaku pengacara, kemunculan istimewa Man Kidal juga menambahkan lagi kehangatan. Sudah pasti peminat rock tanah air perlu hadir menyaksikan gabungan julung-julung kalinya yang akan meninggalkan sejarah baharu kepada arena muzik tanah air.

Selain itu, pelbagai acara lain turut dianjurkan sepanjang tiga hari termasuklah pameran Kor Risik DiRaja, pameran motosikal yang melibatkan beberapa artis popular, jualan vendor, e-sport games (PUBG) dan jualan trak makanan. Turut diadakan Larian Perisik, pemeriksaan kesihatan percuma, permainan kanak-kanak yang pastinya memberikan pelbagai pilihan kepada pengunjung yang hadir. 

Untuk pengunjung yang hadir pula, mereka boleh memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuklah sebuah motosikal Y15 yang sedang menjadi kegilaan peminat sejak akhir-akhir ini. 

 



 


No comments:

Post a Comment

MAHATHIR THE JOURNEY