04 November, 2019

BUTTERFINGERS GAMIT NOSTALGIA ROYAL BUTTERS



Janji telah mereka kotakan meskipun terdapat sedikit kecacatan di luar jangkauan minda. Buktinya lebih 8 ribu peminat setia kumpulan yang berpaksikan irama grunge itu telah membanjiri Stadium Malawati Shah Alam pada 2 November lalu. Konsert anjuran bersama Unifi sempena Festival Selangor Youth Republic 2019 serta meraikan ulang tahun ke-20 album ketiga Butterfingers iaitu Transcendence.



Seawal jam 6 petang, peminat sudah mula membanjiri perkarangan stadium, meskipun ada yang terpaksa menapak lebih 1 km gara-gara ruang tempat letak kereta di perkarangan stadium telah penuh dengan deretan kenderaan peminat yang sudah berada di lokasi lebih awal. Apa yang pasti itu semua bukanlah alasan untuk mereka menyaksikan gabungan istimewa yang cukup bermakna.

Butterfingers yang dibarisi oleh Emmet (penyanyi), Loque (penyanyi/ gitar/ keyboard), Kadax (bass) dan Loko (dram) kembali bergabung menghiburkan peminat selepas kali terakhir melakukannya pada 2016. Selepas itu mereka terus menyepikan diri dan hanya Loque yang aktif bersama kumpulannya MonoloQue.




Ruang di hadapan pentas semakin padat dengan fanatik Buterrfingers yang cukup setia menanti band pujaan mereka, tepat jam 8.50 malam tanpa banyak bicara keempat-empat figura terus membuai jiwa dengan lagu Chemistry. Padat, energetik dan berkarisma yang dihimpunkan bersama lontaran vokal hadirin sudah pasti memanaskan suasana konsert.

Butterfingers kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti Epitome, Meltdown, Mermaid dan Doomsday Out. Diikuti lagu lagu seperti Faculties of the Mind, Floating In A Vacuum, RnR, Weird, Moksha, Mystery dan Words vs Wisdom yang pastinya membawa penonton melungsuri era kegemilangan album Transcendence.




Setiap lagu yang dimainkan dilihat berjaya membawa peminat kembali ke zaman kemuncak mereka era 90an.Hangatnya konsert semakin membara apabila ada dalam kalangan peminat yang berdiri sambil menari dan ada juga yan melakukan aksi 'moshpit' di hadapan pentas.

Butterfingers terus tampil dengan membawa Royal Butter melungsuri seleksi lagu-lagu yang terdapat dalam album Butter World Pushful seperti Fire Is A Curse dan Girl Friday. Namun ketika lagu Vio Pipe didendangkan, para hadirin sudah mula menyedari sesuatu berlaku pada Kadak apabila dia tidak muncul di pentas.



Mungkin ramai yang agak terkilan apabila lagu-lagu daripada album 1.2 Miligrams yang sarat dengan nuansa grunge, seperti Chrome, Royal Jelly, Sober, Me dan Wet Blanket, terpaksa dipersembahkan tanpa Kadak atau nama sebenarnya Mohamed Fakharudin Bahar.

Namun itu bukanlah menjadi alasan untuk peminat berganjak daripada menyaksikan persembahan Butterfingers yang cukup sarat dengan elemen Seattle Sound seperti apa yang di harapkan oleh band-band yang berpaksikan muzik grunge di seluruh dunia.




Konsert Transcendence 20 Tahun itu terpaksa dihentikan ekoran pemain bass band itu Kadak tiba-tiba mengalami sesak nafas hingga mengakibatkannya tidak boleh meneruskan persembahan. Hanya persembahan secara akustik tanpa petikan gitar bass disajikan Loque, Emmet dan Loco kepada peminat.


Butterfingers yang terpaksa akur kepada situasi tanpa di duga itu berjaya menawan Royal Butter untuk terus berhibur bersama di dalam konsert yang berdurasi 3 jam itu. Sebanyak 27 buah lagu telah di persembahkan bagi menunaikan janji setia mereka kepada peminat.

Mereka menyimpan momen indah bersama peminat melalui lagu Wet Blanket yang menutup tirai konsert sempena 20 tahun album Transcendence.





Persembahan yang ditampilkan memukau, semuanya cukup rasa dan mereka mantap dalam menghiburkan penonton yang bertandang. Sistem audio, pencahayaan serta pentas tersergam indah memberikan perisa enak terhadap persembahan Butterfingers yang sangat menghiburkan penonton.


Penonton pulang dengan senyuman yang puas, gembira kerana dapat menikmati persembahan rangkaian lagu hits Butterfingers ketika zaman membesar, dari remaja menuju dewasa.

Selain Transcendence, Butterfingers menghasilkan lima lagi album studio, antaranya 1.2 Milligrams (1996), Butter World Pushful (1997) dan Selamat Tinggal Dunia (2005).


Penulisan oleh : Dauza 


No comments:

Post a Comment

MAHATHIR THE JOURNEY