11 October, 2019

MARGASATWA PERTARUHAN TERBARU LUNCAI EMAS

Luncai Emas Sdn Bhd sekali lagi tampil bagi memperkenalkan artis dan album terbaru terbitan syarikat ini – MARGASATWA.

MARGASATWA


MARGASATWA yang dianggotai oleh Kimal (vokalis), Syahir sebagai pemain drum, Fadhil & Sammy sebagai pemain gitar dan Shadiq selaku pemain bass mengambil masa hampir 1 tahun bagi melengkapkan album mereka yang juga berjudul ‘Margasatwa’ ini.


Mungkin ramai yang masih belum mengenali Margasatwa, sebuah kumpulan rock yang versatil dan menggayakan imej berambut panjang ala-ala kumpulan rock 70an hingga 90an. Kumpulan ini menaruhkan kekuatan lagu, permainan muzik dan juga vokal yang bertenaga.

Mengimbau kembali…. segalanya bermula apabila Kimal menjuarai pertandingan pencarian bakat Luncai Emas, LET’S NYANYI yang diadakan sepanjang jelajah ‘Konsert M.Nasir Kembara’ yang terakhir sebelum ini. Dengan persetujuan dan restu Dato’ M.Nasir sendiri, Kimal telah diserap masuk ke Luncai Emas sebagai artis solo dan juga sebagai komposer, penulis lirik. Ditakdirkan tuhan Syahir sedang menjalani latihan industri di Luncai Emas sebagai pemain drum dan telah berjumpa dengan Kimal. Akhirnya mereka menubuhkan Margasatwa bersama dengan Fadhil, Sammy, dan Shadiq.



Menurut vokalisnya Kimal, album ini dirakam ketika beliau berada pada titik kehidupannya yang paling sukar kerana puteri sulungnya Puspa telah disahkan mempunyai masalah jantung berlubang sejak lahir dan perlu menjalani pembedahan segera pada ketika Puspa berusia 7 bulan yang memerlukan kos yang besar. Antara lagu di dalam album ini ditulis oleh Kimal untuk Puspa dan ada juga lagu yang didedikasikan kepada semua rakyat Malaysia yang menghulurkan derma untuk Tabung pembedahan Puspa sebagai tanda terima kasih.



Jika anda mendengarkan lagu-lagu mereka atau menonton persembahan Margasatwa secara langsung, anda pasti merasakan seperti dibawa kembali ke era kegemilangan muzik rock berkumpulan yang sangat mementingkan kualiti muzik dan nyanyian seperti Headwind, Sweet Charity, Kembara, Carefree, Search, Wings, Iklim dan sebagainya. Keunikan kumpulan Margasatwa yang di anggotai Kimal sebagai vokalis, ini telah mendapat perhatian pengarah terkenal Mamat Khalid untuk turut mewarnai filem sekuel Rock iaitu Rock 4 yang bakal ditayangkan pada tahun 2020. Mereka turut mempunyai kelab peminat mereka sendiri yang bergelar Wargasatwa. 

MARGASATWA mempertaruhkan 11 lagu dalam album sulung mereka ini termasuk single pengenalan mereka sebelum ini yang berjudul Ego yang mana Video Liriknya telah mencapai ratusan ribu tontonan di youtube.



Kini berbekalkan single kedua iaitu ‘Asmara Botol Kaca’ dan sekaligus memasarkan CD album penuh mereka kepada para peminat, Margasatwa berharap konsep muzik dan kehadiran mereka ke dalam industri muzik Malaysia akan dapat diterima ramai.



Peminat juga boleh melayari lagu ABK serta Ego di kesemua platform streaming, youtube dan juga iTunes. Manakala untuk kepuasan maksima, peminat disarankan agar mendapatkan terus CD album penuh ini. Pembelian album boleh dibuat di laman web rasmi mereka iaitu Margasatwa.net dan juga boleh didapati dari Gudang Suara Records.

No comments:

Post a Comment

MAHATHIR THE JOURNEY