18 July, 2018

JOZAN - PERTARUHAN TERBARU ASTRO

Pertaruhan program terbaru di Astro Warna bakal menyaksikan gabungan 2 personaliti yang tidak asing lagi dalam dunia hiburan tanahair. Gabungan yang mengelarkan diri mereka JOZAN iaitu Johan dan Zizan yang bakal bersatu dalam satu pentas menerusi slot LAWAK LIVE. Semestinya peminat peminat tidak sabar untuk menantikan kemunculan mereka berdua kembali dalam satu gabungan yang mantap.

maestro media my - JOZAN


Program ‘JOZAN’ merupakan sebuah program variasi hiburan komedi kendalian Johan dan Zizan Razak yang mengetengahkan isu-isu terkini dan viral menerusi pelbagai bentuk aktiviti hiburan berteraskan komedi seperti permainan, sketsa, debat santai, persembahan muzikal, parodi, temu bual dan pelbagai lagi. Program ini juga akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air pada setiap minggu.


maestro media my - JOZAN


Berdurasi selama satu jam, ‘JOZAN’ dibahagikan kepada lima segmen di mana setiap segmen mengandungi pengisian aktiviti hiburan yang berbeza. Secara keseluruhannya, terdapat 22 bentuk aktiviti hiburan yang bakal menghiasi ‘JOZAN’. Antaranya adalah ‘Perang Jantina’, ‘Bakat Ke Laut’, ‘Kita Ke Mahkamah’, ‘Lip Sync Battle’, ‘Horror Latah’, ‘Bual Bicara’, ‘Hos vs Hos challenge’ dan pelbagai lagi.


Menariknya, aktiviti hiburan bagi setiap segmen tidak tetap dan akan bertukar silih berganti pada setiap minggu bagi mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton dan memastikan kandungan program ‘JOZAN’ sentiasa segar dengan kelainan yang ditampilkan dalam setiap episod.


Kepelbagaian aktiviti hiburan dalam ‘JOZAN’ yang disesuaikan mengikut topik perbincangan pada minggu tersebut bukan sahaja menguji para selebriti jemputan tetapi juga Johan dan Zizan selaku anak seni versatil yang bermula daripada bawah dan telah melalui liku-liku dunia hiburan.

Program ini juga bakal menyaksikan penglibatan secara langsung daripada penonton di mana terdapat sebuah segmen khas untuk penonton menonjolkan bakat mereka dan penonton juga berpeluang untuk menentukan cabaran yang harus dilakukan oleh Johan dan Zizan serta melontarkan idea-idea bernas berkaitan program dengan memberi maklum balas di media rasmi ‘JOZAN’ untuk perhatian pihak penerbitan.


maestro media my - JOZAN


“Syukur Alhamdulillah, melewati pertengahan tahun 2018 ini saluran Astro Warna terus bergerak maju dan tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelbagai seleksi program komedi buat penonton sejak dari bulan Januari lagi. Kini, kami mengambil satu lagi langkah ke hadapan dengan memperkenalkan sebuah program terbaharu, ‘JOZAN’ dan ia akan dikendalikan oleh gandingan duo yang cukup hebat dan popular, Johan dan Zizan Razak. 


Uniknya program ‘JOZAN’ ini, ia merupakan satu-satunya program siaran langsung di Astro Warna yang tidak terikat dengan sesuatu format. Perkara paling utama dalam perjalanan program ini adalah kandungan yang memberi gelak tawa kepada penonton. Justeru itu, kami membawakan pelbagai bentuk pengisian hiburan komedi seperti nyanyian, sketsa, cabaran santai, debat komedi, bual bicara serta pelbagai lagi yang akan bertukar-tukar pada setiap minggu, bersesuaian dengan topik pada minggu tersebut.


Selain itu, penampilan pertama Johan dan Zizan dalam program ini pada 24 Julai kelak bakal menandakan penyatuan semula secara rasminya jenama ‘JOZAN’ setelah selama enam tahun mereka berdua telah membawa  haluan masing-masing di dalam mencorakkan kerjaya mereka. Kini mereka kembali ke Astro Warna, tempat permulaan kerjaya mereka berdua sebagai anak seni yang lebih hebat, matang dan sarat dengan pengalaman untuk mengendalikan program mereka sendiri. Pastinya kehadiran semula gabungan duo yang pernah menggamatkan industri komedi tanah air suatu masa dahulu dinanti-nantikan oleh semua peminat.” menurut Pengurus Saluran Astro Warna Norzeha Mohd Salleh .




Antara lain yang menarik perhatian adalah ‘JOZAN’ merupakan program pertama menampilkan Johan dan Zizan Razak sebagai JOZAN selepas enam tahun. Penampilan akhir gandingan mereka berdua sebagai JOZAN di kaca televisyen adalah menerusi program ‘Maharaja Lawak Mega 2012’ yang menyaksikan mereka menjulang trofi juara.


Bakal ke udara selama 40 minggu, ‘JOZAN’ akan bersiaran secara langsung selama satu jam dari Studio 1, Astro pada setiap hari Selasa bermula 24 Julai 2018 jam 10.00 malam. Ia akan dipancarkan terus di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan untuk pilihan alternatif, ia boleh ditonton menerusi platform digital Astro GO dan ‘on demand’.

No comments:

Post a Comment

MAHATHIR THE JOURNEY