02 January, 2020

KONSERT 4G PENAMPILAN HAZAMA BLACK AKIM DAN TOMOK

KONSERT 4G'S ADALAH GABUNGAN 4 NAMA BESAR ARENA SENI TANAHAIR HAZAMA , BLACK , AKIM DAN TOMOK YANG BAKAL BERLANGSUNG DI ISTANA BUDAYA APRIL INI.


Tenaga, pengaruh dan kuasa muzik mereka tidak pernah hilang getar di hati peminat. Dari awal kemunculan hinggalah membina portfolio sebagai penerus legasi seni yang menunjang kemas dalam gelanggang muzik tanah air, empat penyanyi lelaki generasi masa kini: Black, Hazama, Tomok dan Akim bersedia untuk menerjang emosi peminat dengan melodi kecintaan mereka menerusi sebuah konsert berskala mega. 

Julung kali disatukan, tidak cukup dengan Anugerah Terindah, Mana Mungkin dan Sofea Jane daripada Black; Cinta Teragung, Malaikat dan Penglipur Lara (Hazama); atau Sejarah Mungkin Berulang oleh Tomok dengan seleksi Bagaikan Bidadari dan Arjunanya; Akim bersama Bengang serta Mewangi, konsert tersebut menyandarkan melodi lagu-lagu terindah dari era muzik yang membesarkan dan memberi inspirasi terhadap pertumbuhan empat penyanyi itu sehingga kini sebagai konsep pengisian. 

Dinamakan sebagai Konsert 4G’s: Black, Hazama,Tomok & Akim, paduan suara dengan tagline ‘Gabungan Melodi Terindah’ itu juga boleh disifatkan sebagai quartet terhebat yang pertama kali dipersembahkan dalam sebuah konsert di Malaysia, di Istana Budaya khususnya. 

Biarpun masing-masing memiliki lagu-lagu popular yang pastinya jadi siulan peminat, namun untuk 4G’s, mereka juga tidak cenderung dipersembahkan sebagai penyanyi solo, sebaliknya sebagai sebuah kombinasi yang akan saling berpadu suara dalam setiap lagu dendangan. 

Dengan kata lain, mereka akan ‘dilahirkan’ sebagai sebuah grup daripada generasi masa lalu dan generasi masa kini di Panggung Sari, Istana Budaya kelak. 

“Idea menggabungkan empat atau tiga vokalis dalam sesebuah konsert memang tidak asing, tetapi repertoirnya masih fokus terhadap persembahan solo setiap artis, cuma ada segmen duet beramai-ramai. Itu pun tidak banyak. 

“Untuk 4G’s, konsepnya lebih terhadap penyatuan keempat-empat penyanyi dalam setiap lagu, semacam quartet dengan keunikan karakter pada setiap penyanyi. Persembahan solo tetap ada, tetapi dalam segmen awal sahaja,” kata wakil Belbis Sdn.Bhd. selaku penerbit/penganjur konsert. 



Berpengalaman menganjurkan beberapa konsert terdahulu seperti Romansa Kris Dayanti, dan M. Nasir Sang Pencinta, pihak Belbis yakin pemilihan Black, Hazama, Tomok dan Akim untuk dua malam persembahan akan menjanjikan hiburan berbaloi dengan harga tiket yang dibayar penonton. 

“Mereka ada banyak lagu popular dan setiap orang ada kelebihan vokal serta identiti muzik tersendiri. Untuk konsert nanti, kami hanya perlu memenuhkan 2600 tempat duduk dalam Istana Budaya untuk dua malam persembahan. 

“Secara puratanya, empat penyanyi itu ada enam juta pengikut dalam laman sosial. Dari angka itu, nampaknya mereka ada sokongan korporat dan peminat muzik tanah air. Penganjur juga sangat mengalu-alukan pihak-pihak yang berminat untuk mengambil bahagian sebagai penaja konsert dengan menghubungi talian Hotline kami,” tambah penganjur. 

Sebagai kelainan yang dijangka menyuntik kesegaran bahkan menambahkan aura empat sekawan 4G’s, Black, Hazama, Tomok dan Akim kini dalam proses menghasilkan sebuah single baharu. 

Sesuatu yang jarang berlaku, single yang pertama kali menyatukan empat suara anak jantan industri muzik tempatan itu dijangka akan dilancarkan pada Januari 2020 dan lebih istimewa menjadi hiburan bonus buat penonton Konsert 4G’s. 

Dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 April tahun depan, secara tidak langsung, konsert anjuran Belbis Sdn. Bhd ini juga menjadi agenda istimewa yang menghangatkan kalendar Visit Malaysia Year 2020. 

Tiket-tiket berharga RM98, RM248, RM348, RM428 dan RM518 mula dijual pada 12 Disember 2019 menerusi www.airasiaredtix.com. Penganjur turut menyediakan tempat duduk istimewa berharga RM988 setiap satu sebanyak 16 seat pada setiap malam persembahan. Hubungi Hotline: +6018 2488184 untuk maklumat lanjut. 

Untuk pertanyaan media dan sebarang informasi, boleh hubungi pihak Mewah Event yang bertindak selaku AMP (Aida Hussin) menerusi talian +6012 2166873.

No comments:

Post a Comment

TANDUS SKUAD PEMUSNAH